~Ilmu itu jauh lebih mahal daripada segala KEBENDAAN,jauh lebih berharga drpd semua KEKAYAAN~. Powered by Blogger.

SABARLAH WAHAI HATI

Posted by ~PERMATA ISLAM~ Tuesday, March 22, 2011

Sejak akhir-akhir ini, saya merasakan diri sering teruji dengan pelbagai mehnah, masalah dan kerenah. Kerenah teman-teman sekerja, fitnah, ketidakpuasan hati orang terhadap kita, masalah pengurusan hidup, kewangan, masalah hati, masalah..masalah..dan masalah.....Sehingga timbul keluhan, kepenatan, ketidak mampuan bahkan lebih lagi merasakan, kenapa aku diuji? Ya Allah...ampunilah aku. Sesungguhnya ujian-Mu adalah tarbiyyah, tanda kecintaan pada kita.

Bentuk ujian yang kita hadapi sebenarnya jika dibandingkan dengan ujian yang Allah berikan kepada Rasulullah, para sahabat, ulama' adalah sangat sedikit. Kita hanya diuji dengan masalah peribadi, masalah persekitaran, masalah pergaulan bersama teman-teman, masalah sistem@prosedur dan sebagainya. Malah adakalanya masalah yang tidak sepatutnya kita jadikan sebagai masalah kita letakkan sebagai masalah.

Sedangkan mereka (para Nabi dan sahabat nabi) telah diuji dengan mehnah pendakwah yang hebat, ditentang terang-terangan, diperangi dengan perang dan tombak. Bukan hanya kesakitan hati yang ditelan, tetapi juga fizikal turut dirobek sehingga ke liang lahad demi menegakkan ISLAM di muka bumi ini.

Fatimah RA meriwayatkan bahawa nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, setelah itu orang-orang sesudah mereka. (Riwayat al-Nasaa’ie)
Teringat pesan bonda, ustaz dan teman-teman, supaya bersabar dalam pelbagai ujian. Setiap kesabaran itu adalah nikmat, hikmah dan pahalanya yang besar.Kerana kehidupan adalah ujian. Sesungguhnya apa yang berlaku dalam hidup telah ditentukan Allah percaturannya.

      Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 1-2 yang bermaksud:
 Maha suci Allah yang di tanganNyalah segala kerajaan, dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu. Dia yang menjadikan kematian dan kehidupan supaya Dia dapat menguji kamu siapakah yang lebih baik amalannya. Dan Dia maha perkasa lagi maha pengampun.
Allah Azza wa Jalla menjadikan kita untuk menguji kita dengan persoalan-persoalan yang kadangkala tiada jawapannya di dunia ini melainkan ketundukan dan penyerahan yang mutlak kepadaNya semata-mata. Oleh itu, kita semua akan diuji oleh Allah SWT, sekiranya ingin tergolong dalam kalangan orang-orang yang benar dan beribadah.

FirmanNya dalam surah al-Ankabut ayat 1-3 yang bermaksud:
Alif Lam Miim. Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
 
Kesabaran diperlukan dalam dua perkara iaitu sabar atas kesusahan musibah dan sabar atas pemberian nikmat. Kerana kedua-duanya juga adalah ujian daripada Allah sebagaimana disebutkan dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 35. Sabar atas kesenangan atau nikmat ialah dengan rasa syukur, memuji Allah dan mengagungkanNya. Manakala sabar ke atas bala’ yang menimpa ialah dengan ketenangan, penerimaan dan penyerahan yang pasrah kepada Allah. Anas Ibn Malik meriwayatkan bahawa nabi SAW bertemu dengan seorang wanita yang sedang menangis di satu kubur, lalu nabi berkata kepadanya yang bermaksud:
 
 Wahai wanita, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Wanita itu terus menjawab:     Jauhkan dirimu daripadaku, sesungguhnya engkau tidak mendapat musibah seperti aku. Wanita itu tidak mengenali nabi SAW. Diberitahu kepadanya bahawa dia adalah nabi SAW, lantas wanita itu mendapatkan nabi di rumahnya, dia mendapati bahawa tiada seorang pengawal pun di rumah nabi SAW, lalu berkata kepada nabi: Aku tadi tidak mengenalimu. Jawab nabi SAW: Sesungguhnya sabar itu ialah ketika musibah itu menimpamu. (Riwayat al-Bukhari)
 
Kita perlu jadikan seluruh kehidupan kita (yang merupakan ujian tadi) sebagai ibadah. Belajar sama ada asignment yang perlu disiapkan, berforum, pembentangan dan latihan mengajar sebagai ibadah,  berkeluarga sebagai ibadah, bermasyarakat sebagai ibadah dan bernegara juga sebagai ibadah. Kerana objektif penciptaan manusia dan jin adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana firmanNya dalam surah al-Dzariyat ayat 56. Hakikat ibadah ialah berjaya dalam ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. 
 
Allah juga mendedahkan sunnatullah ujian ini dalam penciptaan manusia menerusi firmanNya dalam surah al-Insan ayat 2 yang bermaksud:
Sesungguhnya kami jadikan manusia dari setitis mani yang bercampur, Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), (kerana itu) Kami jadikan dia mendengar dan melihat. 
Oleh itu, Allah menjadikan kita mampu mendengar dan melihat supaya kita berupaya menghadapi ujian daripada Allah SWT. Allah Azza wa Jalla akan menguji setiap makhluk yang hidup dengan segala bentuk kesengsaraan, kesusahan, kesakitan, kepedihan dan seumpamanya termasuklah kematian. Oleh itu, jangan sekali-kali kita menyangka bahawa ujian Allah SWT terhadap kita sebagai tanda kemarahan Allah. 
 
Diriwayatkan bahawa ‘Ubadah bin al-Somit berkata kepada anaknya:
Kamu tidak akan merasai hakikat keimanan sehinggalah kamu mengetahui bahawa setiap apa yang menimpa kamu bukan untuk menyalahkan kamu dan setiap kesilapan kamu bukan untuk menimpakan musibah kepada kamu. (Riwayat Abu Daud).
Maka, ujian merupakan sunnatullah terhadap makhluknya. Cuma manusia sahaja yang refleks dengan pelbagai bentuk, ada yang bersabar dan ada yang sebaliknya. Di manakah kita sewaktu membaca firman Allah dalam surah al-Fajr ayat 15 bermaksud:
 
Adapun manusia jika Allah SWT mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberi kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun apabila Allah mengujinya (dengan bentuk yang lain), dihadkan kadar rezekinya, maka dia berkata: Tuhanku telah menghinaku

Mungkin kita boleh mengambil pedoman daripada Umar bin al-Khattab RA. Dalam satu athar diriwayatkan bahawa Umar berkata: Setiap kali aku ditimpa musibah, aku berfikir empat perkara, dengan demikian jiwaku akan merasa tenang, iaitu: 
 
Pertama: aku berfikir siapakah yang memberikan aku musibah ini? Dia adalah Allah. Maka dengan segera jiwaku menjadi tenang.
Kedua: aku berfikir bahawa Allah mampu menimpakan kepadaku musibah yang lebih besar daripada yang kuhadapi, dan Allah hanya memberikanku setakat ini sahaja, lantas aku memuji Allah atas musibah yang sedikit ini.
Ketiga: aku selalu ingat sabda Rasulullah bermaksud:
Tidaklah seorang mukmin terkena satu duri dan yang lebih besar daripada itu kecuali Allah mengangkatnya satu darjat atau menghapuskan daripadanya satu dosa. (Daripada ‘Aisyah, Riwayat Muslim)
Keempat: aku berfikir bahawa musibah yang terjadi adalah di dunia dan bukannya di akhirat.
Mereka yang bersabar dalam menghadapi ujian akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT.  Allah menjanjikan kepada orang yang bersabar tiga perkara:
 
Pertama: Mendapat Ma’iyyatullah.
Renungi bersama jawapan nabi Musa kepada pengikutnya menerusi firman Allah dalam surah al-Syu’araa’ ayat 62 yang bermaksud:
Sesungguhnya Tuhanku bersamaku. Dia akan memberi petunjuk kepadaku.
Begitu juga perkataan nabi SAW ketika berada dalam gua sewaktu hijrah sebagaimana firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 40 bermaksud:
Ketika dia berkata kepada temannya: janganlah kamu bersedih sesungguhnya Allah bersama kita.
Seterusnya dengan sighah yang hampir sama, Allah Azza wa Jalla berjanji kepada orang-orang yang sabar melalui firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud:
 
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.
Kedua: Mendapat berita gembira.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud:
Dan sungguh Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘inna lillahi wa inna ilaihi roji’uun’, mereka itulah orang yang mendapat (keampunan) dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
Ketiga: Mendapat ganjaran tanpa had.
Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 10 yang bermaksud:
Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar sahajalah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.
 
 Persoalan yang timbul sekarang adalah mengamalkan sabar. Teorinya memang kita sedia maklum, cuma bagaimanakah praktikalnya. 
Belajarlah untuk sabar. Tidak rugi anda sabar. Untung lagi adalah. 
 
Artikel ini ditulis ketika hati sedang mencari inspirasi kesabaran, mencari ilmu dan rational kesabaran. Semoga hati saya beroleh petunjuk.
Isi dipetik dari blog Ustaz Anhar Opir : 
http://hjanhar.blogspot.com/2011/03/bersabar-untuk-sabar.html?showComment=1300791754388#c5216110463312367689




0 comments:

Post a Comment

"Jika aku benar, ikutlah aku, jika aku salah,tegurlah aku" - Sayyidina Umar

Syukran singgah di blog xseberapa ni

Related Posts with Thumbnails

About Me

My photo
Kota Bharu, KELANTAN SERAMBI MEKAH, Malaysia
~Dunia ini adalah perhiasan, seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah~...~Dunia adalah ujian, dan anak-anak adalah salah satu ujian buat ibu bapa mereka~

MY INSPIRATIONS

MY INSPIRATIONS
Umi dan Abah

PERMATA ISLAM

Sesungguhnya manusia adalah khalifah di muka bumi ini,
Ketinggian martabat manusia disisi Allah bukanlah harta,kedudukan, kebangsawanan, darjat keturunan, malah bukan juga kecantikan rupa paras Tapi nilai sebenar yang dipandang oleh ALLAH yang di namakan TAQWA.

Firman ALLAH : 
" Sesungguhnya, semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih TAQWANYA di antara kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
( Surah Al-Hujurat : 13 )


Followers

TETAMU ISTIMEWA

JARINGAN MAKLUMAT

TAMAN ILMU

Installed by CahayaBiru.com