~Ilmu itu jauh lebih mahal daripada segala KEBENDAAN,jauh lebih berharga drpd semua KEKAYAAN~. Powered by Blogger.

Hari Ini dalam Sejarah : Pengeboman Hiroshima dan Nagasaki

Posted by ~PERMATA ISLAM~ Monday, August 9, 2010

Hari ini 9 Ogos 2010 genaplah 62 tahun peristiwa berdarah pengeboman bandar Nagasaki Jepun ( 9 Ogos 1945 ) dan 6 Ogos 1945 di Hiroshima Jepun oleh Amerika Syarikat.


KEJAYAAN penyelidikan The Manhattan Project di Los Alamos Amerika Syarikat selama 3 tahun sebelum itu menjadi KEMUSNAHAN dan KEHANCURAN yang memilukan kepada empayar Jepun yang tidak akan sama sekali dilupakan oleh rakyat jepun khususnya. Peristiwa ini membawa kepada kekalahan Jepun yang galak menguasai Perang Dunia buat seketika pada masa tersebut.


Misi serangan nuklear ini bertujuan untuk memusnahkan Empayar Jepun sewaktu era Perang Dunia ke 2. 
Kapal terbang pengebom B-29 yang berlepas dari Pangkalan Udara Tinian di Guam, berada di ruang angkasa Hiroshima pada jam 8.15 pagi. Kira-kira 17 saat kemudian, bom atom (Uranium-235) dilepaskan dan seminit kemudian, bom yang dikenali sebagai Little Boy meledak di udara.
Sasaran awal adalah Jambatan Aioi, tetapi pusat ledakan adalah di atas Hospital Shima, bersebelahan Dewan Promosi Perindustrian Hiroshima yang kini dikenali sebagai Kubah Bom Atom.


Sejarah hitam Hiroshima - KUBAH BOM ATOM


Hasil daripada pengeboman ini, lebih 70 000 rakyat Jepun tempatan terkorban serta merta akibat pengeboman manakala selebihnya yang hidup pada masa tersebut juga terkorban hasil daripada kesan penyinaran bahan nuklear bom atom, penyakit yang menyusul dan akibat kekurangan sumber ubat-ubatan . Bagi yang terselamat daripada terkorban, mereka mengalami trauma kecacatan seumur hidup akibat penyebaran radioaktif sinaran uranium tinggi yang terkandung di dalam senjata nuklear tersebut. 
Kira-kira 39 tahun kemudian (1984), statistik melalui Buku Rekod Kesihatan, melaporkan anggaran mangsa yang terbunuh di Hisroshima bertambah enam kali ganda, iaitu seramai 368,000 orang. Ramai yang mati selepas menanggung derita akibat kesan radioaktif bom atom.


6 Ogos -  Adalah hari ulang tahun kejadian itu. Di kebanyakan tempat dunia ini, sambutan diadakan dengan harapan tragedi itu tidak berulang. Di Hiroshima, Kubah Bom Atom menjadi medan pertemuan rasmi bagi mangsa yang masih hidup untuk mengenang semula detik hitam itu.


Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Jepun pada era tersebut turut mengalami peristiwa memilukan itu, tidak pernah ketinggalan menyertai sambutan di Hiroshima sebagai tetamu kehormat kerajaan Jepun. 




Berikut adalah petikan cerita beliau ( Akhbar Berita Minggu, 7 Ogos 2005 )


“Hanya tahun ini, saya tidak dapat ke Hiroshima kerana keadaan kesihatan isteri tidak mengizinkan. Sayu tidak dapat pergi.

“Setiap tahun, saya sentiasa menunggu tarikh 6 Ogos kerana seminggu sebelum itu, saya akan berada di sana untuk bertemu semula sahabat lama,” katanya.

Malaysia bertuah kerana tidak memerlukan orang Jepun mengisahkan semula peristiwa itu. Anak jati Pulau Pinang itu Razak adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dari Malaysia.

Peristiwa yang dirasakan seperti berlaku semalam itu baginya bukti kezaliman peperangan yang kerana hendakkan kuasa, sanggup membunuh manusia tidak berdosa.

“Zalim...saya hairan memikirkan manusia yang suka membunuh,” kata bekas mahasiswa Universiti Hiroshima itu ketika ditemui di rumahnya di Gombak, Selangor.

Mengimbas kembali kejadian itu, Abdul Razak bersama Pengiran Yusuf dari Brunei tekun belajar matematik dengan Profesor Hiroshi Toda dalam kelas.

Tiba-tiba terdengar bunyi siren. Semua kelam kabut berlari menyorok dalam lubang perlindungan. Kemudian siren berbunyi lagi menandakan keadaan selamat.

Sebaik saja pelajaran bersambung, terdengar bunyi yang sangat kuat. Boom! Bangunan kayu dua tingkat kelas itu runtuh dan turut terperosok di bawah runtuhan kayu.

“Saya tak tahu berapa lama tertimbus. Apabila sedar, saya nampak cahaya samar-samar lalu merangkak ke arah cahaya itu,” katanya yang cedera ringan di kepala.

Selepas berdiri tegak, Abdul Razak terpegun kerana keadaan sekeliling berjerebu dan sebahagian besar bangunan ranap menyembah bumi.

Toda menyuruh Abdul Razak pulang ke asrama, tetapi beliau sendiri tidak tahu mencari arah ke asrama.

Ketika berjalan mencari-cari, Abdul Razak bertemu rakannya dari Kelantan, Nik Yusuf Nik Ali. Seorang lagi rakan senegara ialah Syed Omar Aksagoff.

Nik menjerit: “Razak! Cepat balik tolong kawan-kawan di asrama.” Saya tanya: ”Awak macam mana? Nik berkata: ”Saya sihat, tak ada apa-apa.”

Rupa-rupanya hari itu adalah pertemuan terakhir dua sahabat karib itu. Nik Yusuf kemudian hilang begitu saja.

Selepas menemui asrama yang sudah menyembah bumi, Abdul Razak bertungkus lumus membantu rakan-rakan dan penduduk Jepun yang terselamat hingga petang.

Pada petang itu, berlaku kebakaran besar yang meragut nyawa mereka yang masih hidup.

“Saya nampak di seberang sungai, orang lari ke tebing tetapi dihalang arus deras. Api menggila seperti puting beliung mara menyambar mereka di tebing.

“Api itu seperti bermata, mara ke seberang sungai kawasan saya berdiri melalui sebuah jambatan,” katanya.

Abdul Razak yang melihat tragedi di seberang sungai tidak berdiam diri lalu berlari ke sebuah jambatan lain. Dengan izin Allah, ada sebuah rakit tertambat di situ.

Beliau bersama rakan-rakannya menaiki rakit yang hanya mampu menampung kira-kira 15 orang. Baki di daratan hangus dijilat api.

Di atas rakit pula, beberapa orang yang mungkin kerana terlalu dahaga meminta air. Abd Razak mencedok air sungai dan diberikan kepada orang itu.

Orang itu mati serta-merta selepas minum. Beberapa orang lain juga menerima nasib sama.

“Barang kali kerana air sungai ini penuh dengan mayat, banyak kuman dan perlu dipanaskan terlebih dulu. Tetapi selepas minum air yang dijerang, mereka juga mati.

“Walaupun saya enggan lagi memberikan mereka air, tetapi mereka kata, tak apa, biarlah kami mati asalkan dapat air,” katanya.

Apabila malam menjelma, barulah bantuan ubat-ubatan dan makanan dari tempat lain tiba.

Abdul Razak dan rakan-rakannya bernasib baik kerana seorang penduduk Jepun membawa mereka tinggal di rumahnya selama seminggu.

Pihak berkuasa Jepun kemudian mengesan mereka dan dibawa ke Tokyo. Ketika perjalanan, Syed Omar yang sakit ditinggalkan di Kyoto.

Tiga bulan kemudian, Abdul Razak mendapat tahu bahawa Syed Omar meninggal dunia.

Teka-teki kehilangan Nik Yusuf pula berakhir apabila Abdul Razak menemui nama Nik Yusuf Nik Ali-Malaya di kawasan perkuburan mangsa Hiroshima.

Di Tokyo, hampir sebulan Abdul Razak menerima rawatan kerana kekurangan sel putih dan selepas Jepun menyerah kalah, Amerika Syarikat menguasai negara itu.



Abdul Razak Abdul Hamid semasa belajar di Universiti Hiroshima

Pegawai Amerika Syarikat menemu bualnya dan oleh kerana tidak ada siapa lagi yang menaja pembelajarannya, beliau disuruh pulang ke Malaya.

Setiba di rumah keluarganya di Kampung Baru pada Disember 1945, keadaan kecoh kerana tiada siapa menyangka beliau masih hidup.

Hari ini, peperangan yang berlaku di sana-sini dan bencana alam seperti tsunami menyebabkan Abdul Razak, mudah terkenang balik tragedi Hiroshima dan Nagasaki.

Beliau juga tidak mudah melupakan kata-kata seorang tentera Jepun yang marah kerana negaranya menyerah kalah selepas peristiwa dahsyat itu.

“Razak, kau balik ke negara kau yang makmur, tetapi 20 tahun lagi, Jepun akan bangun semula,” Terbukti kata-kata itu benar. Jepun sudah lama bangkit dari debu kemusnahan.





Sumber : Arkib Berita Minggu, 7 Ogos 2005

1 comments:

  1. Cikgu Mat Says:
  2. 9 Ogos adalah kelahiran ku,,, dan kemakmuran y kite kecapi adalah anugerah dari Allah utk kite semua,,(^_^)

Post a Comment

"Jika aku benar, ikutlah aku, jika aku salah,tegurlah aku" - Sayyidina Umar

Syukran singgah di blog xseberapa ni

Related Posts with Thumbnails

About Me

My Photo
Kota Bharu, KELANTAN SERAMBI MEKAH, Malaysia
~Dunia ini adalah perhiasan, seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah~...~Dunia adalah ujian, dan anak-anak adalah salah satu ujian buat ibu bapa mereka~

MY INSPIRATIONS

MY INSPIRATIONS
Umi dan Abah

PERMATA ISLAM

Sesungguhnya manusia adalah khalifah di muka bumi ini,
Ketinggian martabat manusia disisi Allah bukanlah harta,kedudukan, kebangsawanan, darjat keturunan, malah bukan juga kecantikan rupa paras Tapi nilai sebenar yang dipandang oleh ALLAH yang di namakan TAQWA.

Firman ALLAH : 
" Sesungguhnya, semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih TAQWANYA di antara kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
( Surah Al-Hujurat : 13 )


Followers

TETAMU ISTIMEWA

JARINGAN MAKLUMAT

TAMAN ILMU

Installed by CahayaBiru.com